Saturday, June 5, 2010

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

Waris Puteri Saadong tak diiktiraf



Nik Yusuf Nik Muhamad (kiri) menunjukkan salasilah Raja Jembal di kediamanya di Jelawat, Bachok, semalam.



BACHOK 4 Jun – Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan (PKRJ) mengakui rupa paras Raja Tengku Putri Anis Raja Sazali, 24, seiras dengan kerabat Raja Jembal bagaimanapun dakwaan bahawa beliau adalah waris keturunan ketujuh Puteri Saadong tidak diiktiraf.
Yang Dipertua PKRJ, Nik Yusuf Nik Muhamad berkata, PKRJ turut terkilan kerana Raja Tengku Putri Anis membuat pengakuan tersebut tanpa merujuk terlebih dahulu kepada pertubuhan itu.
Katanya, upacara pemahsyuran beliau sebagai Sri Ratu Ketujuh Saadong sempena mengakhiri apa yang dikatakan sumpahan tujuh keturunannya pada Selasa ini juga tidak perlu dilakukan sebelum dakwaan berkenaan dibuktikan.
Sehubungan itu, beliau berharap r Raja Tengku Putri Anis dapat berjumpa dengan pertubuhan berkenaan yang mempunyai lebih 2,000 ahli untuk mengkaji salasilah dan kebenaran dakwaannya itu.
“Kita tidak menafikan dakwaannya itu namun kita tidak boleh mengiktirafnya sebagai waris ketujuh selagi belum dibuktikan kesahihannya.
“Apa yang saya baca dalam akhbar, beliau ada berjumpa dengan begitu ramai ulama untuk mengesan susur galur keluarganya tetapi tidak dengan kita.
‘‘Apa yang kita tahu, cerita mengenai Puteri Saadong habis setakat Gunung Ayam sahaja dan kita tidak tahu apa yang terjadi selepas itu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kediamannya di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Yang Dipertua PKRJ, Tuan Zakaria Tuan Ismail.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan pengakuan Raja Tengku Putri Anis yang mendakwa dirinya merupakan waris ketujuh kepada Puteri Saadong yang kisah sejarahnya disaluti mitos dan legenda.
Raja Tengku Putri Anis berkata, sudah sekian lama beliau menyimpan rahsia yang dibawa daripada generasi ke generasi dan tampil hampir pada saat dikatakan berakhirnya sumpahan Puteri Saadong yang merajuk membawa diri ke Acheh, Indonesia.
Katanya, Puteri Saadong meninggalkan sumpahan 420 tahun lalu dengan kata-kata:
Kutinggalkan rakyat, kutinggalkan negeri, kutinggalkan harta, kutinggalkan segala. Merajuk diriku sehelai sepinggang, lalu berlabuh di tempat asalku, di mana bumi ku pijak, di situ langit kujunjung, aku bersumpah tak lagi ku injak negeri Kelantan sehingga cukup tujuh keturunan.
Nik Yusuf berkata, beliau tidak pernah mempercayai kewujudan sumpahan itu dan ia hanya ditimbulkan dalam mitos dan cerita dongeng mengenai Puteri Saadong.
Malah ujarnya, banyak pihak pernah membuat dakwaan sebelum ini bahawa mereka juga adalah kerabat Raja Jembal tetapi bila dibuat kajian ia ternyata tidak benar.


*Petikan Akhbar seterusnya berkaitan isu kebangkitan keturunan ke-7 Puteri Saadong. Petikan ini saya petik agar kalian semua di luar sana membuka mata akan  celik pandangan luas pemikiran tentang sejarah dan budaya tempatan agar kita tidak kelihatan aku apabila berbahas tentang sejarah dengan masyarakat luar tentang sejarah sendiri. Tentang kewujudan pewaris Keturunan Ke-7 Puteri Saadong ini saya sambut dengan rasa penuh bangga kerana tidak semua wanita berani bangkit berbicara lantang dengan sebegitu rupa kalau bukan dari titih keturunan yang benar. Wallahualam. Sama-sama kita menunggu seberapakah kesahihan bakal ditampilkan. 

Jangan cepat melontar bicara,
kalau takut dimakan sumpah,
Hamba rakyat golongan jelata,
Kalau sudah benar tiada yang salah.

PENERUS WARISAN PUTERI SAADONG.RAJA TENGKU PUTRI ANIS




Sebagaimana wujudnya puteri-puteri bangsawan yang lain, begitulah juga lahirnya seorang puteri yang diwar-warkan muncul di sebuah akhbar tempatan Utusan Malaysia baru-baru ini pada tanggal 4 Jun 2010, iaitu Raja Tengku Putri Anis yang diwawancara menyatakan bahawa beliau merupakan Keturunan Ketujuh Puteri Lagenda Zaman-berzaman, Puteri Saadong yang pernah memerintah Kelantan suatu ketika dahulu. Sememangnya terdapat banyak tanggapan mahupun ulasan dari banyak pihak samada ia negatif mahupun positif dari banyak pihak daripada golongan atasan hinggalah bawahan. Almaklumlah, Puteri Saadong adalah Raja Perempuan Pemerintah Kelantan yang bukan sahaja tersohor di Kelantan malah di banyak tempat luar seperti Thailand dan juga di Indonesia. Maka tidak hairanlah sekiranya beliau turut berhijrah ke negara luar dan meninggalkan zuriat tanpa rakyat Kelantan tahu malah kehilangan jejaknya setelah merajuk diri akibat ketidaksetiaan Raja Abdullah yang berlakunya pertumpahan darah akibat tertikam cucuk sanggul ke Bukit Marak dan kemudian ke Nenggiri, Selatan Kelantan. Mungkin juga benar akan kenyataan Raja Tengku Putri Anis ini yang menyatakan Puteri Saadong membawa diri ke Aceh Darussalam dan menggunakan nama yang berbeza. Allahualam.

Hayatilah raut wajah Keturunan Pewaris Ketujuh Puteri Saadong. Benar ataupun tidak akan kesahihan keturunannya, kita teruslah kaji dan merungkai Sejarah.





Foto-foto di atas menunjukkan beliau mempunyai tokoh untuk menjadi pewaris Puteri Saadong. Apa yang saya tahu, beliau merupakan perunding fesyen dan juga pendiri bagi empayar bisnes di luar negara.